mutakhir

Tujuh suspek kes curi ditahan

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

TUJUH suspek termasuk dua wanita dengan seorang warga Thailand ditahan pada 26 dan 29 September lalu berhubung kes curi dalam bangunan, pecah rumah dan curi kenderaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, tangkapan dibuat di sekitar Cyberjaya membabitkan suspek berusia 22 hingga 32 tahun.

Katanya, tangkapan ini berjaya menyelesaikan dua kes pecah rumah dan dua kes curi kenderaan di Cyberjaya serta satu kes curi kenderaan di Brickfields, Kuala Lumpur.

“Antara barangan yang dirampas ialah sebuah kereta jenis Honda Civic digunakan semasa melakukan jenayah, namun tiada rekod hilang, sebuah kereta jenis Proton Preve dengan rekod hilang di Petaling serta sebuah kereta Proton Satria dan Proton Wira dengan rekod hilang di Cyberjaya.

“Barangan lain turut dirampas ialah telefon bimbit pelbagai jenis, jam tangan, televisyen jenama Samsung dan Sharp, serangkai kunci dan beg sandang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, ada suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah seperti kes Akta Dadah Berbahaya, Akta Penagih Dadah dan Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Md Noor Aehwan berkata, dua suspek mengaku terbabit tiga kes pecah rumah sekitar kawasan Cyberjaya.

Susulan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 380 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan manakala reman ke atas semua suspek sehingga 3 Oktober ini.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 11:35am
d