mutakhir

6,367 tahi dadah di Negeri Sembilan

Oleh Hasbi Sidek

SERAMAI 6,367 individu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan kerana disyaki terbabit dengan pelbagai kesalahan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sejak Januari hingga 26 September, tahun ini.

Kejayaan itu turut menyaksikan pelbagai jenis dadah dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM611,404 selain nilai sitaan berjumlah RM3.3 juta dan nilai harta dilucut hak berjumlah RM731,362.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, daripada jumlah keseluruhan ditahan, seramai 202 individu adalah warga asing dari pelbagai negara.

“Statistik kejayaan tangkapan dan rampasan membabitkan jenayah dadah oleh JSJN Negeri Sembilan sejak Januari hingga 26 September lalu menunjukkan seramai 6,367 individu ditahan.

“Seramai 4,109 ditahan kerana didapati positif ujian urin manakala 1,620 kerana kesalahan memiliki. Bagi kesalahan bekalan, seramai 550 suspek ditahan dan seramai 88 individu ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) ADB 1952,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bagi dadah sintetik, nilai rampasan berjumlah RM331,741 dengan syabu mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM282,044 diikuti pil eramin 5 sebanyak 904 biji bernilai RM16,444.

“Ketamin seberat 0.19 kilogram bernilai RM11,517, 1,500 pil yaba bernilai RM11,465 dan 3,667 pil ekstasi bernilai RM10,270 dirampas sepanjang tahun.

“Manakala bagi dadah tradisional, sebanyak 5.2 kilogram ganja dirampas dengan nilai dianggarkan berjumlah RM12,905 selain heroin seberat 18.4 kilogram dengan nilai RM203,751. Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah sintetik dan tradisional bernilai RM611,404.

“Sementara itu, JSJN Negeri Sembilan turut menyita harta dianggarkan bernilai RM3.3 juta dan melucut hak harta bernilai RM731,362,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 12:02pm
d