mutakhir

Sempat lagi dia 'berniaga'...

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SEORANG bakal calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) ditahan polis selepas dikesan terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di Taman Panji, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang, remaja lelaki itu berjaya diberkas bersama 5.25 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai lebih RM787.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan operasi ‘Op Tapis’ terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, polis cuba mendekatinya dan memperkenalkan diri sebagai polis, namun suspek tiba-tiba bertindak melarikan diri sebelum berjaya ditahan.

“Ketika diperiksa, suspek menyerahkan sendiri satu paket lutsinar berisi hablur jernih dan sembilan gulung kertas timah.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bersama barang rampasan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nasri berkata, hasil ujian saringan air kencing dijalankan terhadap suspek turut positif menggunakan dadah.

“Hasil siasatan lanjut, suspek adalah pelajar tingkatan lima di salah sebuah sekolah menengah di daerah ini.

“Pelajar ini mengaku mula terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal September lalu secara kecil-kecilan di kawasan atas bukit Kampung Makuao, selepas terpengaruh rakan,” katanya.

Katanya, suspek turut mengaku mahu meringankan bebanan hidup keluarganya selain mendakwa memperoleh bekalan daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Abang’ di Kampung Puyut.

“Pelajar terbabit tidak memiliki rekod lampau dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 12:38pm
d