mutakhir

Apa kata pergi balai buat laporan polis...

Oleh Muhammad Apendy Issahak

UMNO Perak menggesa Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming membuat laporan polis berhubung isu penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membabitkan tanda jalan dikongsi di laman Facebook (FB) yang dikatakan mempunyai kaitan dengannya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Nga yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu tidak perlu melatah mengenai isu berkenaan tetapi sebaliknya perlu segera membuat laporan polis jika benar menjadi mangsa fitnah.

“Kami menasihati Timbalan Speaker untuk segera membuat laporan polis bagi membersihkan nama beliau.

“Beliau juga seharusnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendedahkan siapakah pemilik laman FB berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, ini bukanlah kali pertama laman FB berkenaan membuat kenyataan kontroversi dan menimbulkan elemen kebencian selain bukanlah kali pertama laman berkenaan mengaitkan Nga.

“Oleh itu satu tindakan tegas hendaklah diambil.

“Nga sering menampakkan dirinya sebagai ‘mangsa’ fitnah dan tipu daya, oleh itu Timbalan Speaker mesti membuktikan ‘kesucian’ beliau,” katanya.

Saarani berkata, UMNO Perak mengecam semua perbuatan fitnah seperti pernah dilakukan terhadap UMNO dan Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Sejak semalam, tular di media sosial berhubung isu tanda jalan dwi bahasa di Selangor yang dimuatnaik laman FB menggunakan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans’ sebelum posting itu dipadamkan, namun sempat ditangkap layar warganet.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 2:12pm
d