mutakhir

'Memang saya ambil 'barang'' [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“MEMANG saya ada ambil ‘barang’ malam tadi. Panas dan sejuk,” kata lelaki dipercayai penagih dadah yang turut mengakui mengidap sakit kanser urat dan tulang sejak lapan tahun lalu.

Lelaki berusia 42 tahun itu turut mengakui terpaksa tinggal di kawasan rumah sampah Pangsapuri Kenanga Mewah, Kampung Enam, Bachang, Melaka, sejak lebih tiga bulan lalu kerana tidak mempunyai rumah.

Malah ketika ‘port’ berkenaan diserbu sepasukan penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka jam 8.50 pagi hari ini, gelandangan yang dipercayai ‘tokan kecil’ itu sedang tidur dan di sebelahnya turut ditemukan sejenis alat digunakan untuk mengambil dadah.

Sebaik sahaja dikejutkan penguatkuasa AADK, dia dengan selamba mengakui sudah mendiami rumah sampah di tanah berkeluasan 959 meter persegi itu sejak tiga bulan lalu dan sering berpindah randah.

Mendakwa sudah bercerai dan mempunyai empat anak, gelandangan itu turut mengakui mengambil dadah sejuk dan panas merujuk kepada pelbagai dadah jenis ice, opiat, heroin dan morfin, malam tadi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong yang turut melawat ‘port’ berkenaan berkata, lelaki dipercayai penagih dadah itu juga didapati mengalami kecederaan di kaki dan bahu.

“Atas dasar kemanusiaan saya minta ambulans untuk datang dan membawanya ke hospital untuk mendapat rawatan sebelum diserahkan kepada AADK dan pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Saya percaya, masalah ‘port dadah’ di rumah sampah sebegini juga berlaku di tempat lain dan berharap masyarakat dapat memberikan maklumat untuk tindakan pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Chee Leong yang juga EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri berkata, beliau mengarahkan semua pihak berkenaan segera membersihkan kawasan berkenaan untuk mengelak ia terus dijadikan ‘port’ penagih dadah.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 3:00pm
d