mutakhir

Padah pukul isteri

Oleh Norizuan Shamsuddin

LELAKI dijatuhi hukuman penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana membelasah isterinya sehingga cedera.

Keputusan itu dibuat selepas tertuduh, Rohazan Hashim, 47, mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Norliani Mohd Nordin, 40, di sebuah rumah di Flat Bukit Kecil, Kuala Terengganu, 6.30 petang, 24 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh boleh dipenjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku akibat perselisihan faham antara tertuduh dengan mangsa yang berpunca daripada masalah anak.

Kejadian menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum tertuduh bertindak memukul dengan tangan di bahagian muka dan badan mangsa sehingga cedera.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 5:08pm
d