mutakhir

90 peratus pemilik tanah bersetuju

Oleh BERNAMA

MENTERI Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) sudah menerima antara 700 hingga 800 borang daripada penduduk berhubung pembangunan semula kawasan itu.

Beliau berkata, daripada jumlah borang itu, 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.

“Setakat ini, kita dimaklumkan ada 700 hingga 800 borang yang dikembalikan kepada PKB dan daripada jumlah itu, lebih 90 peratus setuju dengan tawaran yang dikemukakan kerajaan,” katanya dalam program Ruang Bicara Bernama News Channel (BNC) malam ini.

Mengenai terdapat pihak yang meletakkan kadar sehingga RM2,000 bagi setiap satu kaki persegi di kawasan itu, Khalid menegaskan kadar yang ditawarkan kerajaan adalah berpandukan kepada penilaian yang ditentukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

“Ia adalah harga yang berdasarkan penilaian profesional.

“Kampung Baru terbuka kepada sesiapa, siapa sekalipun boleh buat tawaran bukan sekadar kementerian dan kerajaan, mana-mana pihak yang rasa harga tanah RM2,000 (bagi setiap satu kaki persegi) dan ada kemampuan dia boleh beli, tidak ada siapa yang halang,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 1:11am
d