mutakhir

Minta RM3 juta

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Setiausaha Pejabat di pejabat Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Kewangan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tiga pertuduhan rasuah dan dua pertuduhan pilihan menipu berhubung tender penjualan hartanah di Hong Kong.

Tertuduh, Rohaya Sabot, 39, mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Setiausaha Pejabat yang bertugas di Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan didakwa meminta suapan berjumlah RM3 juta daripada Wan Mohamad Wan Yusuf.

Wang itu sebagai dorongan iaitu membantu Wan Mohamad selaku wakil bagi Syarikat Allied Vantage International Group Limited (AVL) dipilih dan ditawarkan sebagai pembeli bagi aset kerajaan iaitu Bangunan Malaysia yang beralamat di 47-50, Gloucester Road, Wanchai, Hong Kong.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di PappaRich Ayer@8, Lot B2-G-2 Ayer 8, Presint 8, Putrajaya pada 25 November 2018.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menerima RM50,000 daripada Wan Mohamad melalui akaun CIMB Bank kepada akaun Maybank Islamic Berhad milik tertuduh dan RM3,000 daripada individu yang sama melalui deposit tunai kepada Maybank Islamic Berhad milik tertuduh sebagai dorongan melakukan perbuatan yang sama.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad Al-Idrus Cawangan Kuching, Tingkat 1, Wisma Satok, Jalan Satok, Kuching, Sarawak, pada 14 dan 26 Disember 2018.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 5:40am
d