mutakhir

Pemilik akaun Macau Scam kena cekup

Oleh Hasbi Sidek

DUA lelaki terbabit sindiket Macau Scam yang memperdayakan pesara jurutera kapal terbang hingga kerugian lebih RM500,000, ditahan di Petaling Jaya, Selangor, tengah malam tadi.

Kedua-duanya berusia 32 dan 42 tahun itu ditahan pada 12.30 tengah malam, dipercayai pemilik akaun bank yang diberikan kepada mangsa untuk memindahkan wang, sebelum wang berkenaan ‘ditarik’ sindiket.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Seremban.

“Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan dengan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Nilai melakukan tangkapan terhadap dua lelaki itu di Petaling Jaya.

“Mereka ada pemilik akaun bank yang diberikan kepada mangsa. Pada 27 September lalu, mangsa diarah memindahkan wang ke tiga akaun berbeza dengan jumlah lebih RM500,000.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pesara jurutera kapal terbang kerugian lebih RM500,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam, gara-gara bimbang ditahan selepas didakwa terbabit jenayah pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani dilaporkan berkata, mangsa disambungkan kepada seorang lelaki kononnya sarjan polis mendakwa mangsa terbabit jenayah itu bersama-sama lelaki dikenali sebagai Danny Wong.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 11:07am
d