mutakhir

Kes Adib: Panggil 12 individu jika ada bukti

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

DUA belas individu yang pernah disiasat susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim akan ditahan semula jika keterangan baharu menyokong pembabitan mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, tidak timbul isu individu berkenaan melarikan diri.

“Siasatan terhadap kes itu tidak pernah ditutup dan kekal disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Jika ada keterangan baharu menyokong pembabitan 12 individu itu, kita akan panggil mereka semula, jadi tiada isu mereka mahu melarikan diri ke luar negara.

“Sebelum ini mereka dibebaskan dengan jaminan polis, dan boleh dipanggil jika ada bukti lain menyokong pembabitan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada 12 individu yang ditahan sebelum ini berkaitan kematian Muhammad Adib masih berada dalam negara atau sebaliknya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Prosiding inkues kematiannya berlangsung selama 41 hari bermula 11 Februari lalu dan keputusan pada 27 September memutuskan, kematiannya disebabkan impak perbuatan jenayah oleh dua atau lebih orang tidak dikenali.

Susulan itu juga Mahkamah Koroner di Shah Alam memerintahkan polis dan Peguam Negara melakukan siasatan sehingga pelaku ditahan.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 11:51am
    d