mutakhir

Siasat kenyataan hasut benci Sultan Selangor

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS menyiasat laporan diterima susulan kenyataan biadap berunsur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Facebook (FB).

Laporan itu dibuat pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada 11.15 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, laporan merujuk kenyataan dikeluarkan akaun FB menggunakan nama Nga Kor Ming Super Fans Page.

“Laporan dibuat semalam dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya ditemui pada Majlis Penutupan Kursus Program Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan), Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan Sesi 2017/2019 di Maktab PDRM, Cheras hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ahad lalu tersebar hantaran daripada FB Nga Kor Ming Super Fans Page yang didakwa mengajak kaum Cina melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor berkaitan penggunaan tulisan jawi.

Hantaran itu ditulis dalam bahasa Cina.

Terdahulu, pada majlis itu, 100 pegawai polis, pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerima sijil tamat kursus selepas menamatkan program selama 18 bulan.

Seramai 22 pegawai polis dan tiga pegawai ATM menerima Ijazah Sarjana Sains Sosial, manakala 33 pegawai polis dan dua pegawai ATM menamatkan pengajian Diploma Siswazah Sains Kepolisan.

Seramai 37 pegawai polis dan dua pegawai ATM pula berjaya menamatkan program Diploma Eksekutif Sains Siasatan.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 12:59pm
d