mutakhir

'Tindakan undang-undang menyusul'

Oleh Shaarani Ismail

PENGERUSI DAP Perak, Nga Kor Ming akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akaun Facebook (FB) palsu yang didakwa mewakili dirinya dan mengeluarkan kenyataan sensitif yang didakwa menghasut seperti tular di media sosial.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada laporan polis dibuat mewakili tindakan undang-undang itu.

“Tindakan undang-undang akan disusuli, terima kasih. Kita akan buat apa yang patut dibuat dan akan maklumkan, ia akan menyusul,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Peruntukan Khas kepada 13 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di SJKC Bercham, Ipoh, hari ini.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad menggesa Kor Ming membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mendedahkan siapa sebenarnya pemilik akaun FB yang selalu membuat kenyataan kontroversi dan menimbulkan elemen kebencian menggunakan namanya.

Saarani dipetik berkata, langkah itu perlu kerana laman FB berkenaan selalu mengeluarkan kenyataan yang mengaitkannya termasuk isu penghinaan dan hasutan benci terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, membabitkan tanda jalan menggunakan bahasa Jawi.

Nga semalam dilaporkan turut meminta Datuk Seri Najib Razak bertaubat dan tidak menggunakan berita palsu untuk menyerangnya mahupun parti DAP.

Beliau dipetik berkata, tindakan undang-undang turut akan diambil terhadap bekas Perdana Menteri itu, selain laporan kepada SKMM yang sudah dibuatnya.

Terdahulu, pada majlis itu Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menyerahkan peruntukan RM620,000 yang disediakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), The Community Chest Fund dengan kerjasama Kementerian Pendidikan untuk membantu sekolah mubaligh dan berkaitan.

Berita berkaitan

Siasat kenyataan hasut benci Sultan Selangor

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 3:22pm
d