mutakhir

Cekup Orang Asli bersama dadah RM915,000 [METROTV]

Oleh Badrul Kamal Zakaria

PENAHANAN lelaki Orang Asli di Taman Aman, Parit Bakar, Muar, Isnin lalu, membongkar sindiket pengedaran dadah membabitkan rampasan bekalan bernilai RM915,000.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan hasil risikan dan serbuan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar kira-kira 4 petang.

“Dia ditahan di kawasan tepi pagar rumah berkenaan dan pemeriksaan terhadap kereta Perodua Axia yang diletakkan di tepi rumah itu menemui dadah berkenaan dalam kotak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, hari ini.

Zaharudin berkata, kenderaan itu turut dirampas dan ketika ditahan, suspek tidak mempunyai kad pengenalan diri dan hanya menyerahkan sekeping surat mengenai maklumat diri daripada Tok Batin Orang Asli, selain difahamkan berasal dari Bekok, Segamat.

Katanya, dadah ditemui membabitkan 14,000 biji pil ekstasi dan dadah jenis Syabu yang dianggarkan seberat 9.9 kilogram bernilai RM915,000.

“Semakan mendapati dia tiada rekod jenayah lampau namun, ujian saringan air kencing positif dadah.

“Semua dadah terbabit dipercayai untuk dibawa keluar ke negara jiran,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang sabit kesalahan boleh digantung sampai mati.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 6:08pm
d