mutakhir

Parkir teksi sesuka hati [METROTV]

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

PENTINGKAN diri sendiri dan sikap mengambil mudah. Itu perlakuan segelintir pemandu teksi apabila mereka meletakkan kenderaan di lokasi tidak dibenarkan di ibu negara.

Perbuatan itu bukan sahaja mengundang kesesakan lalu lintas berikutan jalan menjadi sempit, malah boleh berlaku kemalangan apabila kenderaan melalui jalan berkenaan bergesel disebabkan terlalu rapat.

Tinjauan Harian Metro mendapati, pemandu terbabit mensasarkan kawasan tumpuan pelancong seperti di KLCC, Bukit Bintang, Jalan Imbi dan Jalan Petaling termasuk di sekitar pusat beli-belah sekitar ibu kota.

Pemandu terbabit didapati sentiasa memastikan enjin kenderaan masing-masing hidup supaya mudah bergerak apabila melihat kelibat pihak berkuasa untuk mengelak daripada disaman.

Berikutan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur yang melakukan operasi terus mengepung mereka yang cuba meloloskan diri dengan kenderaan masing-masing.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, sebanyak 87 saman sudah dikeluarkan pihaknya dalam tempoh sembilan hari sehingga semalam.

Beliau berkata, jumlah saman itu hanya membabitkan kesalahan meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan, parkir kenderaan di garisan kuning dan menghalang lalu lintas.

“Tindakan itu diambil selepas kami menerima rungutan orang ramai berpunca sikap pemandu meletakkan kenderaan mereka sesuka hati.

“Perbuatan itu mengundang kesesakan teruk di jalan tumpuan berkenaan,” katanya.

Ismail berkata, pihaknya perlu memastikan kelancaran trafik selain mendidik pemandu supaya tidak mementingkan diri.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu mereka mengambil jalan mudah tanpa memikirkan aspek keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Kami harap dengan kekerapan operasi itu dapat mendisiplinkan pengguna jalan raya terutama dalam kalangan pemandu teksi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pemandu teksi teksi dikenali sebagai Mat, 36, berkata, dia sudah memandu teksi selama empat tahun.

“Tahun ini saja saya sudah 12 kali saya disaman. Itupun baru jelaskan dua saman, sudah kena saman lagi daripada JPJ dan polis trafik.

“Walaupun kerap dikenakan tindakan saya tetap parkir di kawasan ini kerana mudah dapat penumpang.

“Jika asyik pusing tanpa henti susah nak cari makan,” katanya ketika ditemui di Jalan Bukit Bintang.

Selain itu, terdapat pemandu teksi masih mengambil penumpang meskipun cukai jalan keretanya sudah tamat tempoh sejak 7 Ogos lalu.

Dia yang memberi alasan tidak tahu cukai berkenaan sudah tamat tempoh menyebabkan kenderaannya itu disita.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 6:14pm
d