mutakhir

MTS beroperasi semula Sabtu ini

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PRODUK pelancongan terkenal Melaka, Menara Taming Sari (MTS) kembali beroperasi Sabtu ini selepas selesai proses penambahbaikan secara berperingkat sejak Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB) Datuk Mohd Ariff Shah Abdullah Sani berkata, pihaknya turut mengeluarkan notis pemberitahuan itu di hadapan premis menara berputar berkenaan.

“Sebelum ini, kami terpaksa menghentikan operasi 23 Ogos lalu bagi kerja penambahbaikan dan kembali beroperasi 23 September lalu.

“Bagaimanapun, MTS sekali lagi terpaksa menghentikan operasinya lima hari bermula 30 September sehingga Jumaat ini dan dibuka semula 5 Oktober ini bagi proses memasang alat gantian tuil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, penutupan secara berperingkat itu disebabkan MTS sentiasa mengemaskini status operasi demi keselamatan pengunjung menara berputar setinggi 110 meter itu.

Mengulas lanjut, Mohd Ariff Shah berkata, semua produk lain di bawah MTSB bagaimanapun dibuka seperti biasa.

“Produk kami yang lain seperti Mini Rider dan kawasan ‘Relax & Chill’ serta kedai di sekitar menara masih beroperasi seperti biasa,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 7:02pm
d