mutakhir

Tanam gading tepi pokok pisang [METROTV]

Oleh Abdul Rahemang Taiming

DUA gading milik gajah yang mati akibat ditembak di Hulu Sungai Udin, Dumpas dekat Tawau, ditemui disembunyikan dalam kebun buah-buahan milik koperasi FELDA Umas 4, kira-kira 10 kilometer dari lokasi bangkai gajah itu ditemui.

Lokasi gading gajah itu ditunjukkan sendiri salah seorang daripada enam suspek yang ditahan polis dalam operasi di FELDA Umas, hari ini.

Suspek diiringi polis menunjukkan lokasi gading gajah dibalut dengan guni plastik sebelum ditanam dalam tanah berhampiran pokok pisang di kebun buah-buahan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada lagi suspek atau rakan subahat termasuk pembeli gading yang ditahan selepas ini.

“Polis menasihatkan pemilik senjata api jangan salah guna senjata api termasuk menyerahkan kepada individu yang tidak mempunyai lesen. Polis tidak berkompromi terhadap sebarang pelakuan jenayah sama ada terhadap haiwan dan sebagainya,” katanya.

Dalam operasi bermula 12.20 tengah malam tadi, polis merampas 53 kelongsong peluru dan 56 peluru hidup serta tiga senjata api dipercayai digunakan suspek menembak mati gajah pygmy di Hulu Sungai Udin, Dumpas.

Susulan kejadian itu, enam suspek termasuk seorang warga asing berusia antara 48 tahun hingga 68 tahun ditahan.

Semua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman, esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 8:50pm
d