mutakhir

'Geng adik beradik' menyamar polis ditahan

Oleh BERNAMA

DUA ahli ‘Geng adik beradik’ yang dipercayai menyamar sebagai polis dan aktif merompak sejak dua bulan lalu ditahan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, polis kini giat memburu empat lagi anggota kumpulan itu yang berusia antara 20 hingga 27 tahun.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di Kampung Bukit Kuang 11 malam kelmarin.

“Sehari sebelum ditahan, suspek dipercayai melakukan rompakan di sebuah rumah di Ibok, Kemaman.

“Kejadian itu membabitkan rumah peniaga berusia 24 tahun. Dia didatangi enam lelaki menaiki dua kereta yang memperkenalkan diri anggota polis dan dua daripada mereka memakai ‘vest’ polis.

“Suspek kemudiannya menggeledah rumah dan bilik tidur mangsa sebelum merampas sebuah motosikal, dua telefon bimbit dan wang tunai RM200,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, kedua-dua lelaki yang memakai ‘vest’ tidak menunjukkan kad kuasa kepada mangsa dan empat lagi suspek berpakaian biasa serta berseluar jeans.

Mangsa kemudiannya pergi ke Pondok Polis Ibok untuk bertanyakan status motosikal miliknya namun diberitahu tiada pemeriksaan dan rampasan dilakukan polis.

Hanyan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 1:13am
d