mutakhir

Sita 297 beg ciplak

Oleh Siraj Mohd Zaini

SHAH ALAM: Sebuah premis di Seksyen 16 di sini, yang menyimpan pelbagai beg tangan dan dompet tiruan jenama antarabangsa diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kelmarin.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari itu turut disertai wakil cap dagang jenama terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pelbagai beg tangan dan dompet tiruan menggunakan jenama terkenal.

“Siasatan mendapati premis membuat jualan secara dalam talian melalui Facebook dan Instagram.

“Harga dompet dijual pada harga RM39 hingga RM49 manakala beg tangan RM80 hingga RM120 seunit,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, stok barangan tiruan terbabit dipercayai dibeli dari pemborong tempatan dan dipasarkan ke seluruh negara secara dalam talian.

“Pihak kami menyita sebanyak 297 unit beg tangan dan 24 dompet pelbagai saiz dan bentuk yang dianggarkan bernilai RM27,600.

“Seorang wanita berusia 30 tahun yang juga pekerja premis ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 5:40am
d