mutakhir

Patin pun kena curi

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PEKAN: Secara lazimnya barang kemas dan wang ringgit adalah benda yang sering menjadi sasaran penjenayah untuk dicuri namun lain pula kisahnya di sebuah kampung di Pulau Keladi di sini, apabila ternakan patin sangkar milik penternak sering dilarikan.

Perkara itu mula berleluasa sejak beberapa bulan lalu apabila penternak patin sangkar di kampung itu mengalami kerugian puluhan ribu ringgit selepas ternakan mereka dilaporkan dicuri pada waktu malam.

Menurut penternak ikan patin sangkar, Rahasen Ahmad, 32, dia kerugian RM5,000 sejak bulan lalu apabila 250 kilogram (kg) ikan patin ternakannya dicuri.

“Saya syak perbuatan ini dilakukan mereka yang berkemahiran dengan ternakan patin sangkar dan dicuri pada sebelah malam ketika pemilik sangkar tidak sedar.

“Kemungkinan mereka menggunakan bot sebelum melarikan ratusan kilogram ikan patin kami,” katanya di Kampung Baru Pulau Keladi, di sini, semalam.

Rahasen yang memulakan ternakan patin sangkar sejak tiga tahun lalu berkata, dia tidak mahu menuduh individu bertanggungjawab melakukan jenayah itu namun mengesyaki ia dilakukan penduduk tempatan.

Katanya, faktor harga ikan patin yang tinggi di pasaran menjadi punca kepada kekerapan kehilangan ternakan patin sangkar mereka.

“Di pasar, ikan patin dijual pada harga RM16 hingga RM18 sekilogram. Apabila mereka (pencuri) jual, pembeli sudah tentu tidak mengesyaki ikan patin itu adalah yang dicuri,” katanya.

Beliau berkata, ekoran itu satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, di sini dan meminta siasatan dilakukan bagi mengesan individu bertanggungjawab.

Tahir Yunus, 64, berkata, dia mengalami kerugian RM8,000 selepas mendapati ikan patin diternak di lima sangkar di tebing Sungai Pahang ‘ghaib’.

“Saya bangun pagi dan lihat jaring sangkar saya dipotong dan 400kg ikan patin dicuri. Kejadian ini berlaku sejak April lalu,” katanya.

Katanya, kejadian berulang kali itu menyebabkan penternak patin sangkar kerugian puluhan ribu ringgit kerana hasil usaha mereka menternak ikan patin selama lapan bulan dicuri begitu saja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Yusof ketika dihubungi mengesahkan laporan polis dibuat penternak patin sangkar berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan bagi mengesan individu bertanggung jawab termasuk mengambil keterangan mangsa.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 5:50am
d