mutakhir

Padah ceroboh perairan Pulau Rebak

Oleh Hamzah Osman

SERAMAI 19 nelayan pukat tunda warga Thailand yang leka menangkap ikan di perairan Pulau Rebak di Langkawi, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana melanggar syarat sah lesen.

Kesemua nelayan berusia di antara 22 dan 68 tahun itu ditahan pada jarak di antara 10.69 dan 13.40 batu nautika dari Pulau Rebak, sekitar 9.55 dan 10.30 malam, pada Isnin lalu.

Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, anggota PPM dalam bot ronda terserempak dengan lima bot pukat tunda terbabit dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil semakan menggunakan Sistem Pengesanan Global (GPS) mendapati bot itu menangkap ikan di kawasan kurang 15 batu nautika daripada pantai terdekat.

“Kawasan itu adalah kawasan yang tidak dibenarkan untuk bot nelayan kelas C menunda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rosman berkata, kesemua bot berkenaan serta nelayan terbabit dibawa ke Pangkalan PPM di Bukit Malut untuk proses dokumentasi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan kesemua suspek telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

“Tindakan bot berkenaan bukan sahaja menceroboh kawasan tangkapan ikan nelayan tradisional, malah kegiatan itu boleh merosakkan sumber perikanan, terutama anak ikan,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 10:12am
d