mutakhir

Macam-macam taktik seludup rokok

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PELBAGAI taktik digunakan individu dalam usaha menyeludup barangan tidak sah ke Singapura termasuk warga Malaysia yang dikesan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura.

Sepanjang bulan lalu, pegawai ICA yang bertugas di Singapore Cruise Centre, West Coast Pier and Marina South Pie di Singapura, mematahkan enam cubaan berasingan untuk menyeludup keseluruhannya 78 paket dan 40 batang rokok yang tidak dibayar cukai.

Menerusi laman rasmi Facebook (FB), ICA Singapura, pada 11 September lalu, pegawai pihak berkuasa itu menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas lelaki warga Malaysia berusia 39 tahun itu, sebanyak 10 paket rokok yang tidak berbayar cukai disembunyikan di sekitar bahagian pinggul dan pangkal pahanya,” katanya.

Dalam kes lain yang hampir sama, pegawai ICA menemui 40 paket rokok yang belum dibayar cukai disembunyikan dalam bagasi seorang anak kapal lelaki warga Romania yang berusia 55 tahun pada 29 September lalu.

Barangan salah itu dikesan pegawai ICA menerusi imej imbasan daripada bagasi lelaki berkenaan.

Manakala, dalam empat kes yang lain antara 9 hingga 20 September lalu, empat lelaki membabitkan tiga warga Singapura dan seorang warga Rusia berusia antara 28 dan 64 tahun dikesan melakukan cubaan yang hampir sama.

“Mereka menyembunyikan rokok tidak bercukai itu di bawah pakaian mereka, di sekeliling pinggang, pergelangan kaki dan di dalam stokin serta but yang dipakai mereka,” katanya.

Menurut ICA, enam kes itu dirujuk kepada pihak Kastam Singapura untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam.

Katanya, kaedah penyeludupan seumpama itu dibimbangi diikuti individu lain yang mempunyai niat sama untuk menyeludup barangan ke Singapura.

“ICA akan terus menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas penumpang dan kenderaan untuk melindungi keselamatan Singapura,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 10:25am
d