mutakhir

Tiga negara setuju tuntut sampah tersadai [METROTV]

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

TIGA lagi negara sudah bersetuju menerima kembali 89 kontena mengandungi sisa plastik dan sampah yang tersadai di pelabuhan di negara ini .

Ia dipercayai adalah sebahagian daripada ratusan kontena yang dibawa masuk secara haram dan masih tidak dituntut.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, tiga negara terbabit adalah antara beberapa negara asal kontena yang sudah dihubungi untuk tujuan berkenaan.

“Secara dasarnya, tiga negara berkenaan bersetuju mengambil kembali kontena itu dan menerima syarat kerajaan yang tidak akan menanggung sebarang kos penghantaran.

“Buat masa ini, saya tidak dapat sebutkan tiga negara terbabit secara umum.

“Namun prosedurnya agak rumit, proses dokumentasi penghantaran pulang kontena terbabit akan mengambil masa kira-kira enam minggu dan kita berharap ia akan selesai sebelum akhir tahun ini,” katanya kepada media selepas melancarkan MCIS LIFE, jenama insurans yang dahulunya dikenali sebagai MCIS Insurance Berhad, di Petaling Jaya, hari ini.

Menurut Bee Yin lagi, selain pelabuhan di Klang dan Pulau Pinang, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan masih ada kontena berisi sisa plastik serta sampah di pelabuhan lain di negara ini termasuk Sarawak.

Justeru, tegas Bee Yin, kementeriannya tidak akan tunduk dengan desakan atau tekanan mana-mana pihak dan akan menyelesaikan perkara itu dengan sebaiknya meskipun perlu mengambil masa yang lama.

Ini kerana kata beliau, Malaysia perlu bertegas dalam perkara itu dan tidak mahu masalah yang sama berulang pada masa hadapan.

“Kita tidak boleh menyelesaikan masalah itu dengan cara jalan pintas kerana pada masa depan, Malaysia mungkin akan menerima lagi sampah seperti ini.

“Kerajaan akan menggunakan saluran dan peruntukan undang-undang sedia ada serta mengikut Konvensyen Basel,” katanya.

Isu pengimportan bahan sisa plastik tercemar menjadi tumpuan sejak akhir-akhir ini dan Bee Yin turut mengisytihar ‘perang plastik’ bagi memerangi lambakan sampah yang tidak boleh dikitar dibawa masuk ke negara ini.

Baru-baru ini, beliau turut mengarahkan 60 kontena dengan 3,000 tan metrik sisa sampah yang tersadai di Pelabuhan Klang dihantar semula ke negara asal secara berperingkat.

Sebanyak 11 kontena berisi plastik dan sisa sampah turut dihantar pulang dari Pelabuhan Klang ke Sepanyol, Australia, Arab Saudi dan Bangladesh, baru- baru ini.

Selain di Pelabuhan Klang, media turut melaporkan sebanyak 265 kontena yang mengandungi sisa sampah plastik tersadai di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sejak Januari lalu.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 11:56am
d