mutakhir

Berbahasa Indonesia tapi ada Mykad

Oleh Nur Lela Zulkipli

DUA wanita ditahan pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu selepas disyaki memiliki pengenalan diri Mykad palsu, di Shah Alam, petang semalam.

Sumber Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor berkata, berdasarkan percakapan awal bersama kedua-dua suspek, mereka dipercayai berasal dari Indonesia.

“Kita minta suspek yang memiliki loghat Indonesia mengemukakan dokumen pengenalan diri dan mereka menunjukkan Mykad yang dimiliki kepada pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, kita mengesyaki Mykad yang dikemukakan adalah mencurigakan iaitu palsu,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan kini berada di bawah tahanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Dua wanita berkenaan antara 127 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan di kilang perindustrian, di sini.

Dalam operasi bermula 4.30 petang hingga 8.30 malam itu, mereka yang ditahan berasal dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal, India dan Pakistan.

Antara kesalahan utama yang dilakukan PATI adalah tidak memiliki sebarang pas dan permit yang sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas lawatan.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, Individu yang ditahan berumur lingkungan antara 20 sehingga 45 tahun.

“Operasi kali ini tertumpu di tiga premis industri perkilangan di kawasan Shah Alam dan hasil serbuan yang dilakukan seramai 180 orang warga asing diperiksa.

“Semasa serbuan dilakukan terdapat segelintir PATI cuba melarikan diri dan bersembunyi di siling tandas dan stor, namun gagal kerana anggota serbuan berjaya mengesan tempat persembunyian mereka,” katanya.

Operasi berkenaan membabitkan kekuatan 17 pegawai termasuk lima pegawai JPN Selangor.

Kesemua tahanan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk siasatan lanjut dan akan direman selama 14 hari di bawah seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih.

Siasatan juga akan tertumpu kepada pihak majikan yang menggajikan PATI dan sekiranya terdapat bukti, majikan juga akan dikenakan tindakan undang-undang.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 1:35pm
d