mutakhir

Si bisu mengaku curi Ipad

Oleh Norizuan Shamsuddin

LELAKI bisu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan mencuri Ipad, September lalu.

Tertuduh, Mohd Rizuan Mahmud, 36, hanya mengangguk tanda mengaku bersalah, selepas pertuduhan dibacakan di Majistret Abdul Hayyi Salim.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 29 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan jurubahasa isyarat dan menjatuhkan hukuman.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Mohd Rizuan didakwa mencuri Ipad jenama Apple milik wanita berusia 33 tahun di dalam beg yang ditinggalkan di tempat duduk penumpang hadapan kereta Proton Wira yang diletakkan di kawasan parkir di hadapan Pejabat Tanah Daerah Kuala Nerus.

Dia melakukan kesalahan itu antara 10.20 hingga 11.15 pagi, 30 September lalu dan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau dengan denda atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama dan boleh dikenakan sebatan bagi kesalahan kedua jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta, kejadian berlaku ketika wanita berusia 33 tahun meletakkan kenderaannya di kawasan parkir terbabit untuk ke kedai makan yang letaknya 50 meter dari lokasi.

Namun, sekembalinya pada 11.20 pagi, dia mendapati beg galas yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan dalam terbuka dan pemeriksaan mendapati tablet yang dibekalkan oleh syarikat kepadanya, hilang.

Susulan kejadian, mangsa yang kerugian RM1,600 membuat laporan polis dan polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Terengganu pada 12.01 tengah malam, Selasa lalu menemui tablet berkenaan dan tertuduh ditahan.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 2:40pm
d