mutakhir

Rahsia kembali sihat selepas sakit

SETIAP kali kita jatuh sakit, sama ada selesema, jangkitan virus ataupun cirit-birit, langkah paling biasa yang akan diambil adalah berjumpa doktor, yang akan mendiagnosis dan memberikan preskripsi ubat serta nasihat berkenaan cara untuk pulih.

Bagi yang tidak suka berjumpa doktor atau degil, mereka biasanya akan cuba berubat sendiri atau memilih ubatan tradisional dan komplementari.

Tidak kira apa yang dilakukan, badan kita akan memerlukan rehat yang banyak. Namun, bagi sesetengah orang, gaya hidup mereka yang sibuk sering menghalang mereka daripada pulih sepenuhnya. Malah, sesetengah orang hanya mengambil beberapa pil ubat dan kembali bekerja tanpa mengambil cuti sakit.

Adakah itu langkah yang baik, dan bagaimanakah kita boleh pulih dengan lebih berkesan?

Langkah lebih baik untuk pulih

Cara terbaik adalah dengan mendapatkan nasihat doktor dan bukannya mencuba untuk berubat sendiri. Di samping itu, aspek lain juga penting dalam pemulihan, bukan semata-mata meminta nasihat doktor dan mengambil ubat-ubatan anda.

Makanan dan pemakanan

Selera dan rutin pemakanan anda akan terjejas. Bagaimanapun, untuk mencegah jangkitan, badan anda memerlukan lebih banyak nutrien. Diet yang seimbang dan sihat sangat penting, lebih-lebih lagi semasa sakit.

Makan dalam jumlah kecil secara kerap sepanjang hari. Karbohidrat memberikan tenaga untuk pemulihan, dan protein adalah penting untuk membaiki sel, tisu dan juga penghasilan antibodi.

Pilihlah karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh dan protein tanpa lemak. Jangan lupa buah-buahan dan sayur-sayuran yang akan membekalkan anda serat, mineral, vitamin dan antioksidan.

Tidur dan rehat

Tidur berkualiti adalah penting untuk proses pemulihan badan. Melatonin, hormon yang dihasilkan semasa tidur, membantu menguatkan sistem imun dan memulihkan DNA.

Seseorang yang sihat biasanya memerlukan tidur sebanyak 7-8 jam setiap malam, tetapi lebih banyak masa tidur diperlukan semasa anda sakit.

Bagi mendapatkan tidur lebih baik, pastikan bilik tidur gelap dan senyap. Ambil cuti sakit jika boleh untuk memberikan lebih banyak masa untuk pulih tanpa menghadapi stres kerja. Ini juga dapat mencegah jangkitan daripada tersebar kepada rakan sekerja anda.

Hidrasi

Hidrasi yang cukup adalah penting untuk mengeluarkan toksin daripada badan. Badan anda biasanya kehilangan banyak air semasa sakit melalui peluh, demam, muntah atau cirit-birit, jadi cecair perlu ditambah semula.

Air kosong ialah pilihan terbaik, tetapi anda juga boleh ambil jus buah, sup atau bubur. Hadkan minuman bergula. Kafein dan alkohol sangat tidak disarankan.

Kesihatan usus

Lebih kurang 80% sistem imun terletak pada usus. Penyelidik telah membuktikan bahawa probiotik dapat mengekalkan kesihatan usus dan membantu menguatkan sistem imun. Pengambilan makanan kaya bakteria baik seperti kimchi, pulut tapai, tairu, dan minuman susu berkultur khususnya yang mengandungi probiotik L. acidophilus dan L. paracasei boleh membantu memulihkan cirit-birit dan sembelit.

Pakar penyelildik di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah mengkaji dua strain probiotik tersebut pada tahun 2017. Simptom sembelit subjek kajian telah berkurangan dan subjek kajian yang mengalami sindrom usus rengsa didapati badan kurang menghasilkan bahan kimia pro-radang, lalu mengurangkan keradangan serta menambahbaik sistem imun.

Minda yang positif

Keadaan minda anda boleh memberi kesan kepada keadaan fizikal. Stres dan keresahan boleh menjejaskan proses pemulihan. Kekal positif dan tenangkan fikiran anda dengan aktiviti yang menceriakan anda ketika berehat di rumah seperti membaca buku, menonton filem, mendengar muzik, dan sebagainya.

Sokongan sosial

Kita cenderung untuk mengasingkan diri daripada orang lain semasa sakit. Tetapi sokongan sosial daripada orang tersayang boleh mengekalkan kualiti hidup dan membantu pemulihan.

Maklumkan kepada keluarga dan rakan tentang keadaan anda dan cara mereka boleh membantu anda melaksanakan sesuatu tugasan atau perkara lain di rumah, terutamanya jika anda tinggal berseorangan.

Petua di atas boleh membantu anda kembali sihat dan cergas. Tetapi ingat, penawar ajaib tidak wujud. Bersabarlah dengan badan anda semasa proses pemulihan dan ambillah masa yang realistik dan berpatutan untuk kembali kepada jadual biasa.

Artikel ini ihsan daripada Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM) dan Program Penghadaman Sihat VITAGEN (VHDP), sempena kempen kesedaran Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2019. Dr Rosaida Hj Md Said ialah Ahli Majlis Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia dan Pengamal Perubatan Umum & Pakar Gastroenterologi. Beliau tidak berkaitan dengan, dan tidak menyokong mana-mana jenama atau produk. Untuk maklumat lanjut, hubungi 0305632301.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 4:38pm
d