mutakhir

TLDM cari tapak baru MAWILLA 2

Oleh Poliana Ronnie Sidom

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang mengenal pasti tapak baharu bagi memindahkan operasi Markas Laut Wilayah 2 (MAWILLA 2), sekali gus memastikan markas lebih berkesan dalam pelaksanaan fungsi serta pengawasan perairan di timur Sabah.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob, berkata, markas berkenaan sepatutnya dirancang dibina di Karamunting, bagaimanapun belum dapat dilaksanakan susulan isu membabitkan proses pengambilan tapak tanah.

Katanya, TLDM kini dalam proses meninjau semula tapak sesuai sama ada yang dimiliki kerajaan negeri atau persendirian bagi menempatkan pangkalan baharu itu.

“Tempat yang ada sekarang (KD Sri Sandakan) terlalu kecil dan kita perlu memikirkan untuk memindahkan markas demi memastikan keselesaan anggota dan kelancaran pengoperasian khususnya pengawasan perairan di pantai timur.

“Dalam program Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), pembangunan markas antara keutamaan yang disenaraikan dengan peruntukan kira-kira RM200 juta. Saya difahamkan akan ada perbincangan minggu depan untuk menyediakan pilihan lokasi baharu dan kita berharap ia dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Ramah Mesra Panglima Armada Timur Bersama Warga Markas Wilayah Laut 2, di Rumah Keluarga TLDM Taman Samudera, Sandakan.

Turut hadir, Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Sabri Zali.

Majlis ramah mesra itu diadakan sempena pengunduran Abdul Rahman sebagai Panglima Armada Timur dan akan berpindah Kuala Lumpur pada 1 November depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman berkata, sejak MAWILLA 2 beroperasi, kapal yang terdapat di pangkalan itu secara purata beroperasi pada tempoh dan jumlah hari berada di laut agak tinggi.

“Sebagai contoh KD Yu pada tahun ini telah beroperasi sebanyak 227 hari. Begitu juga kapal lain yang beroperasi tempoh masa dan hari yang hampir sama.

“Tempoh operasi yang tinggi adalah pencapaian yang membanggakan dalam usaha kita mengawal perairan negara,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 6:41pm
d