mutakhir

Ada kesan lubang di kepala Nazrin - Saksi

Oleh Sarah Zulkifli

SAKSI kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, terdapat kesan lubang di bahagian kepala mayat ketika mangsa ditemukan di bilik tidur yang terbakar di Mutiara Damansara, tahun lalu.

Saksi ke-11, pegawai bomba Stanley Sigau Nyalang, 28, berkata, kesan lubang yang dilihat seperti Nazrin dipukul, namun tidak pasti punca kesan lubang itu yang dianggarkan sedalam tiga hingga empat sentimeter.

“Mayat Nazrin ketika itu terbaring di lantai berhampiran katil di bilik itu dalam keadaan hanya berseluar dalam.

“Keadaan mayat sudah keras dan kaku selain saya dapati mangsa juga terbakar di bahagian muka, dada dan kaki sebelah kanan serta ada longgokan darah di kepalanya,” katanya ketika membaca penyataan saksi dalam perbicaraan kes bunuh Nazrin yang masuk hari keenam, di hadapan Hakim Datuk Ab KarimAb Rahman.

Saksi yang juga anggota bahagian operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara itu berkata, pemangku penyelia operasi, pegawai bomba Tanhoss Bah Agem kemudian melarangnya daripada menyentuh mayat.

“Tahnoss mengarahkan saya supaya menunggu pasukan forensik bomba dan polis tiba di lokasi berkenaan,” katanya.

Menceritakan lanjut kejadian itu, dia juga menemui satu beg plastik mengandungi bunga api di bahagian kabinet televisyen dalam bilik terbabit lalu memeriksanya.

“Selain itu, saya juga nampak katil dalam bilik itu terbakar sepenuhnya selain mendapati dinding belakang katil itu juga terkena percikan bunga api.

“Namun, saya tidak dapat pastikan ia berpunca dari bunga api atau sebaliknya,” katanya yang berada dalam bilik itu sehingga pasukan forensik sampai ke lokasi untuk tindakan seterusnya.

Terdahulu, Stanley berkata, dia bersama lima pegawai bomba tiba di rumah Nazrin pada 12.46 tengah hari, 14 Jun 2018 selepas menerima panggilan kecemasan kebakaran.

Sementara itu, saksi ke-10 pendakwaan, pegawai bomba dari balai sama, Muhammad Reza Rusli memaklumkan bahawa dia ada melihat seorang remaja lelaki berusia lingkungan 14 hingga 15 tahun keluar dari rumah tempat kejadian sambil memegang kotak yang tidak diketahui kandungannya.

“Tanhoss membuat pemeriksaan nadi di bahagian tangan dan leher Nazrin bagi memastikan mangsa masih bernyawa atau tidak,” katanya.

Balu arwah Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, dan dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun mengaku tidak bersalah membunuh mangsa yang ketika itu berusia 47 tahun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 7:26pm
d