mutakhir

Pelantikan Naib Canselor USM sudah diputuskan

Oleh Suzianah Jiffar

MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, keputusan untuk melantik Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) baharu sudah dibuat oleh Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam.

Pelantikan Faisal Rafiq, 44, berkuat kuasa Jumaat ini hingga 3 Oktober 2022.

“Keputusan sudah dibuat jawatankuasa pemilih dan USM (lembaga) dan....sudah dibuat secara rasmi,” katanya mengulas mengenai lebih 7,000 petisyen dalam talian yang mahu Prof Datuk Dr Asma Ismail dikekalkan sebagai Naib Canselor USM.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Town Hall bersama Menteri Pendidikan di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu hari ini.

Turut hadir Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob serta Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan semalam berkata, pelantikan Faisal Rafiq itu dibuat berdasarkan syor Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam pada 4 September lalu.

Dilaporkan satu petisyen dalam talian untuk memperbaharui tempoh perkhidmatan Dr Asma sebagai naib canselor USM mendapat sokongan lebih 7,000 orang dalam tempoh dua jam, pada 1 Oktober lalu.

Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata, kerajaan komited untuk membantu kanak-kanak warga Malaysia yang tidak mempunyai dokumen di Sabah untuk mendapat kemudahan pendidikan.

“Mereka ini warga Malaysia tetapi tidak didokumentasikan secara betul oleh ibu bapa mereka.

“Bukan saja kita membenarkan mereka untuk bersekolah tetapi membantu mereka untuk didokumentasikan,” katanya sambil menambah jumlah kanak-kanak yang tiada dokumen di seluruh negara berjumlah 2,635 dengan lebih 1,100 kanak-kanak adalah di Sabah.

Mengenai sesi town hall itu, Maszlee berkata, beliau berpeluang bertemu dengan penuntut dan ahli akademik UMS.

“Kita ada keazaman untuk membantu mempertingkatkan hubungan industri di UMS dengan membawa lebih banyak industri bekerjasama dengan universiti ini.

“UMS mempunyai lokasi cantik yang sesuai untuk pelancongan sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada penuntut.

“Kita juga akan tingkatkan kerjasama UMS dengan universiti lain di peringkat antarabangsa seperti Jepun dan Eropah selain China,” katanya.

Terdahulu dalam sesi town hall itu beliau mahu kerajaan Sabah mengambil seramai mungkin penuntut UMS untuk menjalani latihan amali di jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu.

“Isu sekolah daif juga antara yang akan diselesaikan terlebih dulu di seluruh negara termasuk di Sabah sebelum pendidikan percuma dilaksanakan,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 7:52pm
d