mutakhir

10,000 kunjungi perpustakaan sehari

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

LEBIH 10,000 orang mengunjungi Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Nerus, setiap hari.

Ketua Pustakawan PSNZ, Abu Hassan Ghazali berkata, pihaknya sentiasa menganjurkan program bagi membudayakan amalan membaca buku dalam kalangan orang ramai dan semua penuntut di perpustakaan.

“Kami mengubah budaya dan suasana di PSNZ supaya lebih santai dan mesra pengunjung.

“Amalan dan peraturan pengunjung perlu senyap ketika berada di perpustakaan tidak lagi dipraktikkan di PSNZ kerana kami ingin mengubah persepsi perpustakaan sebagai tempat membosankan dalam kalangan orang ramai.

“PSNZ lebih mesra pengunjung dan terbuka untuk semua orang serta tidak terhad hanya untuk penuntut UMT saja,” katanya ketika ditemui pada Program Read On bersama Maya Karin dan Laksamana Muda (B) Datuk Pahlawan Mohd Rasip Hassan sempena ‘Read@UNI UMT- With Knowledge We Lead’ di PSNZ, hari ini.

Abu Hassan berkata, sehingga kini PSNZ mempunyai 145,000 naskhah buku meliputi 80,000 jenis bahan bacaan selain 2 juta bahan bacaan dalam talian E-Book.

Beliau berkata, selain menganjurkan bengkel membudayakan amalan membaca buku di PSNZ, pihaknya sentiasa memberi sumbangan buku kepada perpustakaan dan pusat sumber sekolah.

“Sehingga kini, lebih 1,500 buku sudah disumbangkan kepada sekolah berdekatan termasuk Sekolah Kebangsaan Tok Jembal.

“Program akan lebih banyak dianjurkan di dalam PSNZ supaya orang ramai lebih mesra dengan perpustakaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rasip berkata, maklumat dan bahan bacaan senang diperoleh melalui pelbagai saluran menjadi punca budaya pembacaan buku di perpustakaan kian berkurangan berbanding 10 tahun lalu.

Beliau berkata, agak membimbangkan kerana budaya membaca buku semakin dilupakan dan orang ramai lebih memilih untuk mendapatkan maklumat melalui sumber di media sosial.

“Timbul masalah kerana tidak semua sumber dan maklumat disediakan di media sosial tepat dan bermanfaat,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 8:17pm
d