mutakhir

Kereta 'masuk' kedai gambar

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

WANITA warga emas cedera selepas kereta dipandu adiknya merempuh kedai gambar di Jalan Sungai Chua, Kajang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kejadian berlaku ketika wanita berusia 63 tahun bersama kakaknya menaiki kereta dari sebuah pasar di Sungai Chua menghala ke deretan kedai berkenaan.

“Sebaik tiba di hadapan kedai gambar itu, pemandu kereta terbabit mahu memasuki kawasan parkir sebelum meminta kakaknya turun terlebih dulu dan masuk ke premis berkenaan.

“Ketika mahu meletakkan kenderaan itu ke kawasan parkir, pemandu dipercayai secara tidak sengaja menekan pedal minyak menyebabkan kereta itu merempuh masuk ke dalam kedai gambar,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, rempuhan itu juga mengakibatkan kereta terbabit melanggar kakaknya.

“Kakak pemandu terbabit dilaporkan mengalami bengkak pada badan dan sudah menerima rawatan.

“Laporan polis sudah dibuat pemandu dan pemilik kedai terbabit, namun nilai kerosakan serta anggaran kerugian masih belum dikenal pasti.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 9:48pm
d