mutakhir

Wanita maut terjatuh dari tingkat 17

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

WANITA ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 17 sebuah blok pangsapuri di Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada lelaki berusia 37 tahun pada 3.50 petang.

“Lelaki itu memaklumkan wanita jatuh dari tingkat atas sebuah blok pangsapuri berkenaan.

“Pemeriksaan di lokasi menemui wanita berusia 47 tahun itu terbaring di jalan berhadapan blok terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zani berkata, pemeriksaan lanjut pada badan mangsa mendapatinya parah di bahagian kepala dan anggota badan.

“Siasatan dilakukan di tingkat 17 menemui satu baldi, satu minuman keras dan satu botol air mineral di tepi tangga blok terbabit.

“Pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa dan lokasi kejadian tidak menemui unsur jenayah,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 12:50am
d