mutakhir

'ASP Wan Faizul' akhirnya ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun di sekitar Brickfields dengan menyamar pegawai kanan polis dan pegawai Muzium Diraja ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, suspek ditahan menerusi Op Cantas Daerah Brickfields yang mengesan lelaki itu di Jalan Rasah, Seremban, Negeri Sembilan.

“Suspek kemudian ditahan selepas kenderaan dipandunya terbabas di bahu jalan di kawasan Ayer Keroh, Melaka.

“Kami merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, satu dompet, dua kad pengenalan milik mangsa, dua lesen memandu milik mangsa dan Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, pihaknya yakin berjaya menumpaskan kegiatan penyamaran suspek sebagai penjawat awam dengan penahanan itu.

“Modus operandi individu terbabit adalah menyamar penjawat awam termasuk pegawai kanan polis dengan menggunakan identiti ‘Tuan Am’ dan Tuan ASP (Asisten Superintendan) Wan Faizul.

“Dengan penahanan lelaki itu, kami yakin dapat menyelesaikan lapan kes yang dikaitkan dengan suspek di sekitar Brickfields dan Sentul,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379/170 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan menyamar penjawat awam.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan peniaga nasi lemak hilang pelbagai barangan peribadi selepas diperdaya lelaki mendakwa sebagai pegawai polis ASP di Jalan Gajah 14, Kampung Kubu Gajah Dalam di Sungai Buloh sebelum dibawa ke Muzium Istana Negara 30 September lalu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di muzium itu suspek diarahkan meninggalkan barang berharga di dalam kereta sebelum terus memecut kenderaan.

Dalam kes kedua pada 2 September lalu, wanita warga Indonesia ditahan lelaki menyamar sebagai pegawai Muzium Diraja sebelum dibawa ke muzium itu kononnya bagi membantu melakukan kerja pembersihan.

Sebaik tiba di lokasi, suspek meminta mangsa turun dari kereta dan meninggalkan barangan peribadi termasuk barang kemas di dalam kenderaan sebelum melarikan diri.

Berita berkaitan

ASP Wan Faizul dicari polis

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 1:27am
d