mutakhir

Aksi jengkel ceduk air longkang

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JOHOR BAHRU: “Siapa minum sila check (periksa) kesihatan di klinik@hospital...bahaya tu,” kata netizen berhubung tular seorang wanita dipercayai menceduk air dari longkang di Jalan Mahir 5, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini.

Rakaman video berdurasi 19 saat itu memperlihatkan aksi menjengkelkan apabila wanita berbaju biru dan bertudung mengangkat air dari parit.

Perbuatan itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen berikutan sumber air diambil di belakang sebuah gerai di tepi jalan itu diragukan tahap kebersihannya.

Meskipun ada mendakwa sumber air bersih dari paip yang pecah, sewajarnya aksi seperti itu perlu dihindarkan lebih-lebih lagi membabitkan soal kebersihan dan kesihatan pelanggan.

Tidak dapat dipastikan tujuan wanita bertudung itu menceduk air itu, namun perbuatannya itu memudaratkan kesihatan.

Menerusi video dikongsikan itu ada latar belakang suara seorang wanita yang mempersoalkan perbuatan itu.

Bahkan peringatan diberikan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati.

“Abang lori atau sapa-sapa yang nak berhenti makan kat gerai perindustrian Desa Cemerlang Johor hati-hati.

“Main ceduk air longkang je...memang siottt...Desa Cermerlang Ulu Tiram, Jalan Mahir 5,” kongsi netizen itu.

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berkata, satu siasatan dilakukan susulan tular rakaman yang menunjukkan penjaja warung kekal seolah-olah mengambil air dari longkang bagi menjalankan aktiviti perniagaan makanan.

Katanya, Jabatan Pelesenan MBJB bersama-sama SAJ Ranhill membuat siasatan pada 29 September lalu di warung kekal berhadapan kilang di Jalan Mahir 5 Kawasan Perindustrian Cemerlang, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram.

“Hasil siasatan mendapati air yang diambil penjaja ini berpunca daripada paip air SAJ Ranhill yang pecah di bawah tanah warung kekal itu dan bukan air longkang,” katanya.

Menurutnya ini kerana air itu dikhuatiri tidak benar-benar bersih dan boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan jika digunakan dalam aktiviti perniagaan sama ada untuk memasak dan mencuci pinggan atau peralatan.

“Melalui siasatan, penjaja warung kekal itu tiada lesen perniagaan MBJB dan diberi notis peringatan oleh Jabatan Pelesenan MBJB.

“Ini adalah notis peringatan kedua diberikan susulan notis yang dikeluarkan Jabatan Penguatkuasa MBJB,” katanya.

Menurutnya, warung kekal ini sebahagian 51 warung kekal tanpa lesen di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang yang diberi notis ketika bancian abatan Penguatkuasa MBJB terhadap penjaja tanpa lesen Julai lalu.

“Tujuh warung kekal tanpa lesen dirobohkan. Bagi baki warung kekal sedia ada, MBJB perlu membuat task force dalaman terlebih dahulu serta menunggu waktu yang sesuai untuk diambil tindakan,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 6:10am
d