mutakhir

Lelaki gila seks kena cekup

Oleh Recqueal Raimi

PEMANDU ‘kereta sapu’ yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang kanak-kanak berusia 11 tahun baru-baru ini, ditahan polis di hadapan sebuah sekolah rendah, di Kampung Muhibbah, di Kudat, semalam.

Suspek berusia 50 tahun ditahan pada 4.40 petang, manakala kereta berwarna hitam yang digunakan ketika kejadian turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat berjaya menahan suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Hasil siasatan mendapati, suspek mengaku memandu kereta terbabit dan melakukan perbuatan menutup mulut mangsa serta membawanya ke lokasi kejadian pada 30 September lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, siasatan masih diteruskan termasuk membuat pemeriksaan ujian air kencing dan keputusan didapati negatif.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.

Pada 30 September lalu, kira-kira 9 pagi, mangsa dikatakan menumpang kenderaan mangsa di Pasar Sayur Kudat untuk pulang ke rumahnya di belakang Homeware Kudat.

Bagaimanapun, suspek memberhentikan kenderaan di kawasan tembok berhampiran Panuwasa Kudat dan memegang tangan mangsa sebelum mengarahkannya melakukan hubungan seks.

Mangsa yang kemudiannya menjerit meminta pertolongan meronta sebelum mulutnya ditutup namun berjaya melepaskan diri selepas mencucuk mata suspek menggunakan batang aiskrim.

Berita berkaitan

Cucuk mata lelaki gila seks dengan batang aiskrim

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 10:15am
d