mutakhir

Gagal seludup arak Vietnam [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PASUKAN Polis Marin (PPM)Tok Bali Wilayah Tiga mematahkan cubaan menyeludup 274.5 liter arak bernilai RM9,150 di jeti awam di Tok Bali di Pasir Puteh, semalam.

Dalam operasi 3 petang itu, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat.

Ketua Bahagian Operasi Risik PPM Wilayah Tiga Deputi Superintendan Mohd Razlin Abd Manaf berkata, pihaknya membuat intipan berhubung aktiviti penyeludupan itu, sejak dua minggu lalu.

Katanya, semalam, pihaknya memperoleh maklumat penyeludupan itu sebelum terus ke lokasi.

“Pemeriksaan di sebuah jeti dan menemui lapan tong dan 23 botol berisi arak buatan sendiri bertulisan Vietnam yang disembunyikan di dalam lubang di bawah jeti.

“Kita menunggu selama 20 minit di kawasan berhampiran namun tiada individu yang mengambil barang terbabit.

“Arak itu kemudian dibawa balik ke Markas Taktikal PPM Tok Bali sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati arak itu diseludup dari Vietnam melalui jalan laut dengan menggunakan bot nelayan.

“Kita percaya mereka sudah lama menjalankan kegiatan ini dan kita sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan persisiran pantai untuk membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 10:19am
d