mutakhir

Pertimbang bonus untuk penjawat awam

Oleh Idris Musa

MENJELANG pembentangan Belanjawan 2020, Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian sebulan bonus untuk penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, adalah menjadi harapan penjawat awam setiap kali belanjawan dibentangkan ialah bonus.

“CUEPACS walaupun apa orang kata, apa orang marah, mencadangkan kerajaan pertimbangkan sebulan bonus,” katanya pada sidang media di ibu pejabat kesatuan itu di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, mendepani kos sara hidup yang tinggi, kerajaan juga diharapkan dapat memberikan kenaikan gaji khususnya satu kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan terdahulu tetapi masih tidak dilaksanakan.

“Kami merayu supaya insentif satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) ini ditimbangkan semula kerana semakan sistem saraan tidak berlaku sejak 2002 hingga sekarang.

“Kami harapkan sekurang-kurangnya pada 2020, kerajaan dapat lepaskan satu insentif kenaikan gaji kepada seluruh penjawat awam,” katanya.

Katanya, dalam konteks hari ini juga CUEPACS berharap kerajaan menyediakan rumah mampu milik yang berharga antara RM90,000 hingga RM150,000, khususnya kepada pekerja berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Namun katanya, CUEPACS tidak bersetuju dengan cadangan sebuah syarikat pemaju agar tempoh pembiayaan perumahan dipanjangkan kepada 42 tahun kerana kadar faedah lebih tinggi terpaksa ditanggung pembeli.

Azih berkata, pihaknya juga mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelepasan cukai kepada individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM18,000, isteri atau suami daripada RM4,000 kepada RM9,000, anak bawah 18 tahun dinaikkan kepada 21 tahun dan kadar RM2,000 kepada RM4,000.

Katanya, anak yang belum berkahwin dan masih belajar dinaikkan kadar daripada RM8,000 kepada RM12,000 manakala yang menuntut di luar negara dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM16,000.

“Pelepasan tanggungan bagi ibu bapa diberikan RM5,000, pelepasan perubatan ibu bapa dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM9,000, insurans perlindungan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000.

“CUEPACS berpandangan kadar pelepasan ini adalah wajar kerana ia akan menjadi pendapatan boleh belanja kepada penjawat awam termasuk mereka bekerja dalam sektor swasta.

“Kami juga cadangkan kerajaan menyeragamkan elaun cola seluruh negara kerana tidak ada tempat yang tidak berdepan dengan kos sara hidup.

“Hari ini elaun cola RM300, RM250 dan RM150. Kalau boleh kerajaan timbangkan juga elaun bandar kepada mereka yang bekerja di bandar besar seluruh negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau melahirkan rasa dukacita dan pasrah dengan tindakan kerajaan mahu menutup Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) yang sehingga kini membabitkan penutupan sembilan ILKKM.

Menurutnya, penutupan fasa pertama itu membabitkan ILKKM Pasir Mas (Kelantan), Georgetown (Pulau Pinang), Kulim (Kedah), Port Dickson (Negeri Sembilan), Serian (Sarawak), Jerantut (Pahang), Segamat (Johor), Kluang (Johor) dan Batu Rakit (Terengganu), dengan 375 kakitangan.

“Ada baki (lagi) yang akan ditutup secara berfasa. Kenapa kerajaan perlu tutup, kalau ini kepentingan rakyat dan pekerja? sepatutnya tidak ditutup.

“Kerajaan patut berkorban untuk rakyat dan pekerja, tapi hari ini pekerja terkorban kerana penutupan ini, ditukarkan jauh dari rumah, dengan jawatan yang rendah.

“Kami membantah dan kami merayu Menteri Kesihatan mengkaji balik cadangan penutupan ini, demi kebajikan kakitangan dan warga kerja Kementerian Kesihatan itu sendiri,” katanya.

Mengulas cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), beliau berkata, pihaknya mewakili pekerja mengambil keputusan secara bersama membantah cadangan itu.

“CUEPACS merayu kepada kerajaan, khususnya Menteri Pendidikan supaya hasrat menggabungkan UMT dan UNISZA tidak menjadi realiti.

“Bukan saja warga pekerja tidak bersetuju malah rata-rata penuntut juga tak bersetuju,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 8:06pm
    d