mutakhir

Naik gaji atau wang tunai RM30,000?

Oleh Idris Musa

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyokong langkah kerajaan memberi insentif kepada kakitangan awam yang mendedahkan salah laku dan penyelewengan, namun tidak bersetuju dengan insentif tunai sehingga RM30,000.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, beliau mencadangkan kakitangan itu dihargai dengan diberikan kenaikan gaji kerana ia lebih menjamin kedudukan kewangannya berbanding insentif tunai.

“Tawarkan mereka kenaikan gaji, sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali. Itu lebih menjamin masa depan dan lebih baik untuk jangka panjang.

“Kita perlu sedar, ada penjawat awam tidak mampu memohon pinjaman perumahan kerana gaji asas rendah dan tidak melepasi syarat minimum.

“Jika mereka menerima kenaikan gaji, sudah tentu mereka layak,” katanya di Ibu Pejabat CUEPACS di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan kakitangan awam yang mendedahkan salah laku dan penyelewengan akan diberi insentif tunai sehingga RM30,000 selain menerima Anugerah Integriti dan Personaliti (IPA).

Katanya, ia adalah selaras dasar kementerian ke arah penjimatan dan melaksanakan tanggungjawab dengan integriti.

Mengulas lanjut, Azih berkata, cadangan itu pastinya secara tidak langsung akan meningkatkan moral kakitangan membantu kerajaan membersihkan sebarang salah laku, namun mereka juga perlu dilindungi sepenuhnya.

“Mereka adalah pemberi maklumat, mesti dilindungi.

“Setiap aduan diterima mesti diteliti sepenuhnya tanpa ada sebarang pilih kasih,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 8:06pm
d