mutakhir

Ruang artis muda pamer karya seni

Oleh Mohd Hilmie Hussin

“UMPAMA mimpi jadi kenyataan apabila dapat melakukan pameran solo hari ini,” demikian kata Choo Ai Xin, 23, juara kategori Seni Halus Pertandingan Seni Tahunan YOUthReka 2018.

Sebagai juara, Nandos menyediakan platform untuknya mengadakan pameran seni solo di Galeri Prima, Bangsar pada pameran Nando’s Serlahkan Kemampuan Artistik Muda-Mudi dengan YOUthReka.

Bertemakan “expand your PERImeters“, 12 artis terdiri daripada pempamer solo dan berkumpulan termasuk Choo bebas mempamerkan seni dihasilkan mereka.

“Sebagai guru seni kanak-kanak, saya amat teruja dapat peluang melakukan pameran solo ini.

“Selama ini, saya hanya berpeluang mempamerkan hasil seni pada pameran berkumpulan dan berharap peluang hari ini menjadi titik tolak kejayaan seni di masa depan,” katanya.

Menurutnya, hasil seni fabrik antara dipamernya bersifat metafora kehidupan, begitu juga seni cawan terpakai melambangkan sikap dalam masyarakat.

Seorang lagi pempamer solo yang memenangi kategori Seni Digital pada 2016, Yau Boon Han, 28, turut berpeluang melakukan pameran solo buat kali pertama.

Yau berkata, karya dipamerkannya itu adalah hasil kerja keras selama tiga tahun dan setakat ini belum ada yang terjual.

“Pada pameran ini, saya letakkan tiga lukisan pada harga paling mahal iaitu RM1,000.

“Lukisan dipamerkan ini menceritakan mengenai ruang dan setiap insan mempunyai ruang sendiri yang luas dan tidak perlu melihat kepada ruang dimiliki orang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nando’s, Mac Chung Lynn berkata, syarikat yang berasal dari Afrika Selatan itu selama ini membeli hasil seni artis dari negara terbabit dan dihias di premis Nando’s di seluruh dunia.

“Di Malaysia, selama ini kami beri hadiah wang kepada pemenang, tetapi selepas itu wang tetap habis. Namun, peluang untuk mereka sebagai artis baru dikenali amat sukar.

“Jadi, setiap pemenang akan dihadiahkan peluang melakukan pameran solo manakala yang mendapat saguhati mempamerkan seni mereka secara berkumpulan.

“Kami yakin, inisiatif ini akan dapat membantu artis baru untuk dikenali dengan promosi di media massa,” katanya.

Beliau berkata, hasil karya seni berjaya dijual akan menjadi milik artis terbabit dan Nando’s hanya menyediakan platform untuk artis berjaya.

Pameran terbabit berlangsung bermula hari ini hingga 9 Oktober ini.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 9:55pm
d