mutakhir

Lelaki warga China ditemui lemas

Oleh Hamzah Osman

LELAKI warga China ditemui lemas di perairan Pulau Anak Datai, Langkawi hari ini.

Mayat Zheng Zhao, 31, ditemui terapung oleh nelayan yang kebetulan melalui kawasan itu pada 4 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa dilaporkan keluar dari bilik penginapan di sebuah hotel berhampiran untuk berenang seorang diri pada 11 pagi.

“Pada 3 petang, teman wanita mangsa turun ke lobi hotel dan bertanya kepada pekerja hotel tetapi tiada siapa tahu ke mana mangsa pergi.

“Bagaimanapun pada 4 petang, nelayan yang melalui Pulau Anak Datai melaporkan kepada operator sukan air di kawasan itu mengenai penemuan mayat lelaki dalam keadaan terapung,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Iqbal berkata, mayat itu kemudian dibawa ke pantai sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Ayer Hangat yang tiba di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Langkawi untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 11:22pm
d