mutakhir

Tak sempat curi kerbau

Oleh Muhammad Apendy Issahak

BEKAS tentera dicekup selepas dipercayai cuba mencuri kerbau yang sudah ditembak dengan pelali di Kampung Bukit Sapi, Lenggong dekat Gerik, semalam.

Dalam kejadian 3.45 pagi itu, suspek yang berusia 34 tahun dilihat berada berhampiran sekumpulan kerbau di kawasan berkenaan oleh pemilik ternakan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, semasa pemilik kerbau berkenaan bersama tiga rakannya berada di kawasan timbang sawit Bukit Sapi, mereka ternampak sebuah kereta berhenti berhampiran kumpulan kerbau di kawasan itu.

“Pemilik kerbau berusia 56 tahun itu bersama rakannya memerhati tindakan suspek dan dapati seekor kerbau sudah tumbang disyaki ditembak dengan ubat pelali.

“Sebaik menyedari kehadiran orang, suspek terus melarikan diri dengan menaiki kereta dan pemilik kerbau bersama rakannya bertindak mengekori suspek menghala ke arah Selat Pagar yang kemudian berhenti di kawasan berhampiran Hentian Rehat Selat Pagar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemilik kerbau itu kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut sebelum polis yang tiba di hentian terbabit membuat tangkapan.

“Suspek tidak sempat melarikan kerbau yang sudah ditembak dengan pelali itu dan polis bertindak menahan suspek yang beralamat di Baling, Kedah serta turut merampas kenderaan yang digunakan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri,” katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 9:04am
d