mutakhir

WKB2030 bakal lonjak ekonomi - Muhyiddin

Oleh Idris Musa

WAWASAN Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dilihat sebagai satu gagasan holistik dan komprehensif untuk Malaysia melonjak pencapaian ekonomi bagi memenuhi aspirasi rakyat menikmati kehidupan yang lebih makmur.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, strategi dan inisiatif khusus bakal dilaksanakan menerusi wawasan baharu ini untuk meningkatkan pendapatan golongan B40.

Menurutnya, kerajaan akan menyediakan pelbagai sokongan untuk golongan berkenaan meningkatkan keupayaan diri termasuk pembangunan kemahiran dan profesionalisme, penyertaan dalam rantaian bekalan dan penciptaan kekayaan.

“Lebih 70 peratus dalam kumpulan B40 adalah antara golongan Bumiputera bakal menerima manfaat paling utama dan keberhasilan secara keseluruhannya menjadi antara intipati penting wawasan ini.

“Hampir 30 peratus daripada golongan B40 adalah terdiri daripada bukan Bumiputera dan mereka ini juga menerima manfaat yang besar daripada pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian WKB2030 di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta menteri Kabinet.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) berkata, Perdana Menteri memberi tanggungjawab kepada MASA untuk mengkaji kedudukan ekonomi semasa dan menggubal satu hala tuju baharu yang menekankan aspek pertumbuhan ekonomi lebih rancak dan pengagihan kekayaan yang lebih adil merentasi kaum, wilayah dan rantaian bekalan.

Katanya, dasar ekonomi sebelum ini menunjukkan kejayaan namun masih wujud kelemahan tertentu termasuk masalah ketirisan dan kesukaran dalam pelaksanaan yang menyebabkan sasaran yang ditetapkan tidak dapat dicapai sepenuhnya.

Beliau berkata, penghasilan WKB2030 akhirnya direalisasikan selepas pelbagai sesi libat urus diadakan bersama pemegang taruh untuk mendapatkan input dan pandangan daripada semua pihak.

“Semua inisiatif di bawah wawasan ini mesti dilaksanakan dengan gigih oleh semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana untuk memastikan setiap sasaran dapat dicapai dalam tempoh sepuluh tahun.

“Usaha mengagihkan kek ekonomi negara secara adil dan saksama kepada rakyat perlu bergerak seiring dengan usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meningkatkan daya saing negara,” katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 11:34am
d