mutakhir

'Bapukong' cara tidurkan anak

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“BUDAK ni tak sakit ke?” Demikian persoalan ditanya pengunjung selepas melihat dua bayi kecil ‘diikat’ dan didodoikan dalam program Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan Banjar di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin, Bagan Serai, hari ini.

Pengunjung yang bukan keturunan Banjar kebanyakannya hairan melihat ‘bapukong’ iaitu salah satu kaedah menidurkan bayi kecil.

Pengarah Program Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan Banjar, Azlan Che Lob berkata, adat itu adalah amalan wajib masyarakat Banjar untuk menidurkan bayi mereka.

Menurutnya, kaedah itu terbukti berkesan dan jauh lebih baik daripada buaian elektrik serta bayi tidur lebih nyenyak.

“Biarpun kaedah ini kelihatan seperti mendera bayi namun sebenarnya ia lebih selesa dan membuatkan bayi tidur lebih lama.

“Kain pelekat atau kain batik digunakan sebagai buaian dan kain lampin atau tudung pula digunakan untuk lilitan pada leher bayi, manakala tali buaian serta kayu atau buluh berukuran 50 ke 70 sentimeter diperlukan untuk dijadikan cangkuk buaian,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, selain dari adat bapukong, pihaknya juga turut menampilkan adat istiadat pakaian tradisi serta adat persandingan kaum Banjar.

“Selain pakaian, antara keunikan yang ditampilkan kali ini yang sudah dilupakan ialah adat makan dalam kelambu seperti lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Musang Berjanggut.

“Adat ini pengantin perempuan diwajibkan mengasingkan pelbagai barangan dapur seperti gula, garam, bawang, cili dan sebagainya yang dicampurkan di dalam dulang yang kemudian dimasak dan dijamah bersama suami di bilik tidur dilengkapi kelambu,” katanya.

Pada program dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam Infrastruktur Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamhari turut ditampilkan peralatan lama kegunaan kaum Banjar antaranya beduk atau ‘Taluntong’ yang dibawa dari Indonesia berusia lebih 300 tahun.

Sementara itu, peserta bapukong, Nurul Amalina Abu Bakar, 27, dari Kampung Kedai Dua, Kuala Kurau, berkata, rata-rata pengunjung luar yang melihat anaknya, Nur Arisha Afeeya Mohd Suhaidi berusia lima bulan ‘diikat’ menunjukkan mimik muka seolah-olah terkejut.

Malah ada yang melahirkan rasa simpati dan menanyakan pelbagai soalan kepadanya.

“Ada yang tanya tak sakit ke, boleh nyenyak ke, darah jalan ke tak.

“Geli hati pun ada tapi selepas diterangkan mengenai kaedah ini, barulah mereka faham,” katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 3:18pm
d