mutakhir

Polis sudah ambil keterangan pelaku belasah doktor [METROTV]

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob dan Hidayatul Akmal Ahmad

POLIS sudah mengambil keterangan lelaki didakwa membelasah seorang doktor dalam sebuah klinik di Bandar Baru Bangi yang videonya tular di laman sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan seorang doktor berusia 32 tahun dipukul di dalam sebuah klinik.

Katanya, suspek berusia 32 tahun ini sudah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Fahrul Anuar di talian 014-3700870 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, satu video berdurasi dua minit 20 saat memaparkan seorang doktor 'dibelasah' di dalam sebuah klinik tular di media sosial sejak kelmarin.

Berdasarkan video itu, seorang lelaki dikatakan menyerang doktor berkenaan berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang keluar bersama isterinya.

Seorang pemilik akaun Twitter menerusi statusnya mendakwa lelaki yang menyerang doktor berkenaan adalah abang iparnya yang baru pulang dari luar negara.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 7:00pm
d