mutakhir

WKB2030 langkah bijak, dinamik [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

KEBANYAKAN rakyat Malaysia bersetuju dan gembira dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dianggap lebih baik berbanding Wawasan 2020 terutama apabila memperkenalkan visi perkongsian kekayaan untuk semua.

Walaupun Wawasan 2020 hanya berbaki setahun lagi, namun tindakan pantas kerajaan memperkenalkan WKB2030 dianggap langkah bijak dan dinamik.

Pembantu klinik, Nor Farhan Said, 23, berpendapat WKB2030 lebih bermatlamat untuk mencapai ekonomi negara setanding dengan negara Asia lain.

“Saya berharap negara lebih maju dan ekonomi lebih mantap untuk bersaing dengan negara Asia lain.

“Selain itu menjelang 2030 negara lebih aman, makmur dan bermaruah supaya Malaysia menjadi sebuah negara terus membangun secara mampan," katanya.

Pengurus cawangan sebuah pasar raya, Muhammad Faiz Mohd, 26, berkata, langkah kerajaan memperkenalkan cukai baharu dianggap langkah bijak bagi menangani kos sara hidup rakyat yang makin meningkat.

“Bagaimanapun, kami tetap berharap cukai baharu ini tidak membebankan terutama bagi mereka yang mempunyai pendapatan rendah," katanya.

Pelajar, Muhammad Nabil Firdaus Zawadi, 18, berkata, misi WKB2030 untuk merapatkan jurang kekayaan dan pendapatan antara kumpulan tertinggi (T20) dan kumpulan terendah (B40) adalah sangat bertepatan.

"Ketika ini kita dapat lihat jurang pendapatan antara dua golongan ini sangat besar.

"Langkah kerajaan ketika ini untuk merapatkan jurang ini dilihat bagus supaya semua golongan dapat merasai kesenangan bersama," katanya.

Pendapat sama turut dilontarkan pelajar, Muhammad Hafiz Mohd Nasir, 18, yang berpendapat ekonomi Malaysia perlu semakin mampan pada 2030 untuk membuka banyak peluang pekerjaan.

"Pada 2030 nanti saya sudah berusia 29 tahun dan diharap peluang pekerjaan makin bertambah supaya kami dapat menyumbang kepada ekonomi negara bagi supaya dapat bersaing dengan negara Asia lain," katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 8:14pm
d