mutakhir

1 jam pujuk serah diri

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

HAMPIR satu jam masa diambil sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memujuk lelaki warga Nigeria supaya tidak terjun dari tingkap rumah sewanya.

Bagaimanapun, lelaki itu akhirnya menyerah diri walaupun keluar melalui tingkap untuk melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

Itu antara gelagat warga asing ketika serbuan dilakukan 252 pegawai dan anggota JIM selain polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sebuah kondominium di Batu 9 Cheras, awal pagi semalam.

Malah, ada di antara warga asing melakukan provokasi apabila enggan menjawab soalan dikemukakan pegawai serta anggota penguat kuasa.

Selain itu, 14 individu termasuk dua lelaki warga China dikesan terbabit dengan sindiket judi dalam talian turut ditahan dalam operasi berkenaan.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memeriksa 33 rumah di sembilan blok kondominium di kawasan terbabit dalam operasi bermula jam 12.30 tengah malam.

“Seramai 23 individu diperiksa dan 14 warga asing ditahan termasuk seorang wanita. Mereka terdiri daripada 12 warga Nigeria dan dua lelaki warga China berusia 20 hingga 40 tahun.

“Dua lelaki warga China ditahan dipercayai terbabit dengan sindiket judi dalam talian berdasarkan penemuan enam komputer riba, 18 telefon bimbit dan 19 hard disk disyaki digunakan untuk kegiatan itu,” katanya selepas mengetuai operasi itu.

Khairul Dzaimee berkata, kedua-dua lelaki terbabit diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Kami turut membuat pemeriksaan terhadap tiga wanita warga Thailand yang disyaki melakukan kegiatan tidak bermoral berdasarkan pemeriksaan Pas Lawatan Sosial (PLS) mereka menunjukkan rekod keluar masuk yang kerap sejak tahun lalu,” katanya.

Katanya, operasi dilakukan susulan serbuan pertama bersama polis pada Mei lalu.

“Berdasarkan keterangan pengurusan kondominium, berlaku pergaduhan di kawasan itu membabitkan beberapa individu warga Nigeria, semalam menyebabkan ramai antara mereka melarikan diri,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 7:15am
d