mutakhir

Hanya mampu terbaring

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

SEORANG remaja perempuan berusia 13 tahun hanya mampu terbaring selepas menghidap penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala sejak kecil.

Kesan daripada 22 penyakit yang dihidapi Siti Nurul Syafiqah Hassan sejak berusia tujuh bulan menyebabkan dia sering diserang sawan.

Ibunya, Rosnani Mohamad, 41, berkata, anaknya yang dilahirkan tidak cukup bulan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu selama 32 hari.

“Ketika Syafiqah berusia tujuh bulan saya melihat benjolan di kiri kepalanya dan dua minggu kemudian, timbul pula benjolan lain di sebelah kanan kepalanya menyebabkan saya dan suami membawanya berjumpa doktor.

“Doktor memberitahu anak saya mempunyai lebihan cecair di dalam kepala dan menyarankan dia menjalani pembedahan, namun arwah suami (Hassan Daud) menolaknya kerana bimbang risiko.

“Sejak itu, saiz kepala Syafiqah semakin membesar sehingga dia berusia dua tahun,” katanya di rumahnya di Kampung Pangkal Kerdas, Labok, Machang, kelmarin.

Katanya, kesan penyakit itu, anaknya kerap diserang sawan antara dua hingga tiga kali sehari menyebabkan dia memakaikan dia gelang loceng.

“Sebelum ini, Syafiqah boleh mengengsot, namun selepas terjatuh tangga rumah, dia tidak lagi mampu bergerak dan kakinya sentiasa berada dalam keadaan bersilang sepanjang masa kerana mengalami kecederaan di pinggul,” katanya.

Menurutnya, sejak setahun lalu, dia terpaksa berhenti mengambil upah menoreh getah untuk memberi perhatian kepada Syafiqah dan mengharapkan bantuan kerusi roda khas, katil serta tilam.

“Bagi meneruskan kelangsungan hidup, saya berharap sumbangan ikhlas orang kampung yang datang mengurut di rumah.

“Mujurlah Syafiqah mendapat bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang digunakan untuk membeli susu dan lampin pakai buang,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0310429000127064 atas nama Rosnani Mohamad atau menghubunginya di talian 0179084710.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) diketuai Ketua Unit Media dan Komunikasinya, Akidi Hamid.

Akidi berkata, pihaknya akan melancarkan tabung khas untuk Syafiqah bagi membantu meringankan beban yang ditanggung ibu bapanya.

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 8:02am
d