mutakhir

Dijangka bertahan dua bulan lagi

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SEBELUM ini, Muhammad Saiful Nizam Mohd Safizan, 11, aktif bersukan di sekolah namun selepas disahkan mengidap barah neuroblastoma (berkaitan saraf) tahap empat, hidupnya berubah berikutan terpaksa menanggung kesakitan seluruh badan.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mergong itu terlantar di katil sejak tiga minggu lalu dan lebih memilukan, doktor menjangkakan dia hanya mampu bertahan dua bulan lagi.

Menurut ibunya, Nor Sakilawati Omar, 33, anak sulungnya disahkan menghidap barah terbabit sejak Februari tahun lalu selepas kerap demam dan perutnya membuncit.

Katanya, doktor melakukan imbasan dan menemui ketumbuhan di atas buah pinggangnya.

“Dia terpaksa menjalani sesi kimoterapi dan ia selesai lapan bulan lalu.

“Kini anak saya lemah dan tidak mampu berjalan lama, dia kerap mengadu panas dan sakit sendi badan, terbaharu matanya pedih menyebabkan dia kerap menutup mata.

“Saya reda apabila doktor memaklumkan anak tiada harapan dan mampu bertahan untuk dua bulan lagi,” katanya di kediamannya di Kampung Kubang Pangas, Mukim Kubang Rotan, Alor Setar.

Bercerita lanjut, ibu kepada dua anak ini berkata, dia dan suami, Mohd Safizan Fazil, 33, sering mengambil cuti kecemasan akhir-akhir ini kerana keadaan kesihatan Muhammad Saiful Nizam.

Katanya, mereka bekerja di kilang sama di Asun, Jitra.

“Saya dan suami ada kalanya terpaksa ponteng kerja hingga menjejaskan sumber pendapatan kerana gaji dibayar mengikut hari bekerja,” katanya.

Disebabkan kerap tidak datang bekerja, pasangan ini hanya memperoleh RM1,400 sebulan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun RHB di 10205 0000 50625 atas nama Nor Sakilawati Omar.

Sementara itu, penderitaan Muhammad Saiful Nizam mendapat perhatian Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara yang datang ke rumahnya menghulurkan sumbangan wang tunai serta makanan.

Pengerusinya, Maznah Tayib berkata, Muhammad Saiful Nizam adalah seorang daripada 300 kanak-kanak yang menerima bantuan persatuan itu.

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 8:15am
d