mutakhir

Padah jual rokok seludup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TUJUH warga asing terdiri daripada penjaga premis dan peniaga ditahan selepas didapati menjual rokok seludup di sekitar Kampung Baru Subang, Sungai Buloh, malam tadi.

Serbuan itu yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh Asisten Superintendan Ana Mohamed bermula 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, empat serbuan dilakukan membabitkan tiga kedai runcit dan sebuah gerai menjual burger.

“Hasil serbuan ini, kami berjaya menahan tujuh warga asing berusia antara 24 hingga 37 tahun, termasuk dua lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki warga Indonesia yang juga penjaga premis dan peniaga gerai burger terbabit.

“Pemeriksaan di lokasi serbuan menemui 1,114 kotak rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM8,000,” katanya dalam kenyataan, di Sungai Buloh, hari ini.

Shafa’aton berkata, semakan dokumen mendapati semua suspek tinggal lebih masa di negara ini.

“Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk permohonan reman, hari ini, untuk siasatan lanjut mengikut Sekyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan sedemikian diminta tampil di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan onar dilakukan warga Bangladesh yang terbabit dengan kegiatan menjual rokok seludup, menyelia pusat perjudian dan menjalankan perniagaan runcit di sekitar Bandar Pinggiran Subang, Subang Bestari, Pekan Subang Lama dan Pekan Sungai Buloh.

Berita berkaitan:

  • 4 koloni Bangladesh
  • Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 11:07am
    d