mutakhir

Angkara penyakit misteri

Oleh Shamsul Munir Safini

TERTEKAN dengan penyakit misteri yang dialami, lelaki bertindak membakar dirinya sehingga maut di rumahnya di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam, 12 tengah malam tadi.

Dalam kejadian yang hanya disedari jiran, mangsa berusia 44 tahun dilihat membakar dirinya menggunakan petrol.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, jiran mangsa kemudian bertindak memberitahu bapa mangsa mengenai kejadian.

“Bapa mangsa berusia 66 tahun bergegas keluar dari rumah mereka sebelum mendapati anaknya telah meninggal dunia akibat melecur seluruh badan.

“Mangsa maut di tempat kejadian dan temubual yang dijalankan juga mendapati mangsa tidak mempunyai musuh dan hutang,” katanya.

Menurutnya, polis juga dimaklumkan bahawa mangsa pernah memberitahu keluarganya bahawa dia mempunyai penyakit yang tidak dapat dipastikan.

Nik Ros Azhan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 1:02pm
d