mutakhir

TAFF tawar rawatan IVF kepada 60 pasangan [METROTV]

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri sambutan Hari Keluarga Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) 2019 di Seri Kembangan, hari ini.

Ketibaan baginda pada 11 pagi diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga pengasas dan presiden seumur hidup TAFF.

Turut berangkat mengiringi baginda berdua, puteri bongsu, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Hari Keluarga TAFF 2019 diadakan bersempena sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-15.

Pada majlis berkenaan, Al-Sultan Abdullah berkenaan mengurniakan surat tawaran penajaan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) kepada 60 pasangan.

Pengurniaan tawaran penajaan itu juga adalah bersempena Hari Keputeraan baginda, baru-baru ini.

Selain itu, Tunku Azizah turut berkenaan menyampaikan loket khas TAFF kepada empat anak yayasan terbabit yang juga pasangan kembar masing-masing berusia enam tahun.

Baginda berdua juga berkenan memotong kek sambutan ulang tahun yayasan berkenaan.

Hari Keluarga TAFF 2019 turut dimeriahkan dengan kehadiran 116 anak yayasan berkenaan dan keluarga masing-masing.

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 1:21pm
d